SEREMBAN – Hasil tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan menunjukkan separuh rakyat negara ini berlebihan berat badan atau obesiti.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata, negara sedang menghadapi masalah kesihatan yang sangat membimbangkan terutamanya masalah obesiti.
Katanya, hasil tinjauan itu menunjukkan prevalence obesiti dalam kalangan orang dewasa berusia 18 tahun ke atas telah meningkat secara mendadak.
“Prevalence obesiti telah meningkat dengan mendadak iaitu daripada 4.4 peratus pada tahun 1996 kepada 14 peratus pada tahun 2006. Kemudian telah meningkat kepada 15.1 peratus pada tahun 2011 dan terus meningkat kepada 17.7 peratus pada 2015.  
“Prevalence berat badan berlebihan dalam kalangan orang dewasa pula sebanyak 30 peratus. Jika dijumlahkan kedua-dua prevalence ini, hampir separuh rakyat Malaysia berlebihan berat badan atau obes,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Kalori di Rehat dan Rawat (R&R) dan Lebuhraya di Malaysia di R&R Kawasan Seremban (Arah Selatan) di sini.
Menurutnya, hasil tinjauan itu juga menunjukkan pada tahun 2015, hampir separuh orang dewasa di Malaysia mempunyai paras kolesterol yang tinggi iaitu sebanyak 47.7 peratus.
“Prevalence diabetes juga menunjukkan peningkatan iaitu 11.6 peratus pada tahun 1996 kepada 15.2 peratus pada tahun 2006 dan terus meningkat kepada 17.5 peratus pada tahun 2015.
“Manakala prevalence hipertensi menunjukkan penurunan iaitu 30.3 peratus pada 2015 berbanding 32.7 peratus pada 2006,” katanya.
Subramaniam berkata, penyumbang kepada masalah obesiti ialah ketidakseimbangan antara tenaga atau kalori yang diambil melalui makanan dengan aktiviti fizikal yang dilakukan.
“Sekiranya kalori yang diambil berlebihan atau tidak digunakan untuk melakukan aktiviti fizikal, masalah obesiti akan berlaku.


“Oleh itu, kesedaran tentang pengambilan kalori amat penting supaya masyarakat akan lebih berhati-hati dalam hal pemakanan mereka,”katanya. - SINAR HARIAN 2 FEB